
Sudah menjadi lumrah manusia untuk memiliki sesuatu yang cantik atau banyak. Contohnya, seorang lelaki yang ingin mencari calon isterinya, sudah pasti akan menilai kecantikan rupa paras terlebih dahulu jika hati tidak dibajai dengan sinar iman. Manakala, seorang penjual sudah semestinya menginginkan keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding sebelumnya. Begitulah sifat manusia di akhir zaman ini, tidak terlepas diri yang menaip ini.
Namun, apakah kita menyedari bahawa kuantiti tidak menggambarkan kualiti? Sebenarnya, jumlah yang sedikit tetapi berkualiti adalah lebih baik daripada jumlah yang banyak tetapi tidak atau kurang berkualiti. Hal ii dapat dibuktikan melalui sirah nabi junjungan kita, Muhammad s.a.w di mana kuantiti yang sedikit dan berkualiti adalah yang terbaik untuk bergerak kerja dalam jemaah.
Contohnya, pada Peperangan Badar, iaitu peperangan yang pertama dalam sejarah Islam, jumlah tentera Muslimin pada ketika itu hanya 313 orang sahaja sedangkan jumlah tentera Musyrikin hampir 1000 orang. Namun, dengan izin Allah tentera yang sedikit tersebut berjaya mengalahkan jumlah tentera yang banyak.
Ahlul Badar yang menyertai peperangan Badar bukanlah pilihan yang sekadar mencukupi atau melengkapi jumlah tentera Muslimin semata-mata. Tetapi mereka dipilih oleh Rasulullah s.a.w sendiri dan dengan bantuanNya. Cuba kita renung sejenak, mengapa hanya 313 sahaja yang menyertai peperangan pertama ini? 313 yang dipilih merupakan yang terbaik di kalangan kaum Muslimin. Mereka dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Pada saat peprangan sedang berlangsung, malaikat Jibrail bertanya kepada Rasulullah s.a.w : “Apakah kedudukan ahli Badar di kalangan kamu?” Rasulullah s.a.w menjawab : ”Mereka adalah yang terbaik di kalangan kami.” Lalu Jibrail pun menjawab : “Begitu juga dengan para malaikat yang menyertai peperangan ini, mereka adalah yang terbaik di kalangan kami.”
Begitulah sahabat yang dirahmati Allah sekalian, sedikit tidak semestinya akan kalah. Malah, jumlah yang banyak juga boleh gugur dan tumbang dek kealpaan dan kelalaian mereka sendiri.
Kita sedari, perjuangan kita bukanlah semata-mata mencari kuantiti, tetapi lebih kepada kualiti. Janganlah bersedih sekiranya jumlah kekuatan kita jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan jumlah pihak lawan atau musuh yang sentiasa mencari peluang untuk melemahkan semangat kita.
“Sesungguhnya, penolong kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan shalat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).”
Semoga kita terus kekal di jalan menuju keredhaanNya, insya Allah.