About Me

My photo
"Allah tahu kemampuan kita..Allah tahu kejahilan dan kebodohan kita..cuma kita tidak tahu di mana hendak cari Allah..carilah Allah dalam setiap denyut nadimu..carilah Allah dalam setiap hela nafasmu..carilah Allah dalam setiap gerak langkahmu..dan carilah Allah dalam setiap degup jantungmu..kau akan temui Allah sentiasa ada untukmu.."

Monday, May 2, 2011

Malu: Kini Menjadi Persoalan??



Malu, satu sifat yang sememangnya ada dalam diri manusia. Ianya merupakan fitrah manusia sejak dari azali lagi.

Perasaan ini bukanlah suatu perasaan baru dalam diri manusia lagi, kerana ianya sememangnya wujud dalam diri manusia itu sejak bermulanya penciptaan manusia yang pertama iaitu Nabi Adam a.s dan juga isteri baginda, Hawa.

Setelah ditipu oleh Iblis laknatullah untuk mengingkari perintah Allah s.w.t, maka semua aurat Nabi Adam dan Hawa telah dibuka oleh Allah di hadapan kedua-duanya. Maka Nabi Adam dan Hawa dengan rasa malunya menutup semua bahagian tubuh badan mereka menggunakan daun-daun dan juga ranting-ranting kayu yang ada di syurga pada ketika itu. Melalui kisah ini, dapat kita perhatikan bahawa sifat malu itu sudah ada sejak dari dahulu lagi.

Akan tetapi persoalan mengenai sifat ini telah menjadi serius kebelakangan ini. Baru-baru ini, saya mendengar bahawa perempuan Islam atau muslimah tidak perlu untuk ke hadapan dan berucap di kalangan kaum lelaki.

Persoalannya sekarang, MENGAPA TIMBUL ISU MUSLIMAT TERSEBUT TIDAK TAHU MALU BILA BERUCAP DI HADAPAN KAUM LELAKI?

Apakah ta'rifan MALU pada pandangan mereka yang pesimis mengenai persoalan ini? Adakah MUSLIMAT yang ingin MENYATAKAN KEBENARAN itu dianggap tidak tahu malu sekiranya dia mengkehadapankan diri untuk berucap di hadapan semua orang tentang kebenaran yang sememangnya benar?

Adakah artis-artis yang memperagakan dada, betis dan seluruh tubuh badannya dianggap mulia dan malu? Inilah DUNIA ZAMAN SEKARANG, DUNIA AKHIR ZAMAN. Yang haq ditentang habis-habisan sehingga merendahkan maruah mereka yang berada di jalan yang haq, manakalah yang batil dialu-alukan dan disokong walau dengan apa cara sekalipun.

Yang haq tetap haq! Yang batil tetap batil! Titis darah merah tidak akan berubah menjadi putih! Isu malu terhadap seorang muslimat bukanlah bererti menundukkan kebenaran, kerana menundukkan kebenaran samalah seperti menindakkan kebenaran dan membenarkan kebatilan.

Peranan muslimah dalam hidup bukanlah semata-mata di rumah, melayan suami dan anak serta menjaga dan mengemas rumah agar disenangi suami, tetapi ianya seiring dengan langkah si suami dalam menyatakan kebenaran, ke arah amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Isu ini bukanlah semata-mata di'tempias'kan kepada muslimat semata-mata, tetapi ianya juga ditujukan kepada kaum muslimin. Kaum muslimin merupakan kaum yang memimpin dan menjaga kaum muslimat, lebih-lebih lagi dalam menegakkan kebenaran yang hakiki.

Sedarlah akan semua umat manusia. Malu itu ada dua, malu bertempat dan malu tidak bertempat. Sekiranya kita merasakan malu untuk berjuang di jalan Allah, maka itu merupakan malu tidak bertempat dan harus dihindar perasaan yang sedemikian. Jangan kita terperangkap dalam istilah malu bertempat dan malu tidak bertempat.

Sekadar perkongsian buat semua.

Sirru ala barakatillah..Wallahu'alam.




Kisah Professor dengan Si Pendayung Sampan



Anda semua mesti pernah terbaca, terdengar atau terlihat kisah berkenaan seorang professor yang sombong dengan seorang pendayung sampan yang tua kan?

Kalau ada yang terlupa, saya akan ceritakan semula tentang kisah yang dimaksudkan.

Pada suatu hari yang dulu, seorang professor ingin membuat kajian mengenai sejenis tumbuhan yang tidak terdapat di kawasan kebiasaannya. Akan tetapi, dia perlu menaiki sampan atau kapal kecil untuk mencari tumbuhan tersebut kerana ianya terletak di sebuah pulau yang terpencil. Professor tersebut terpaksa mencari pendayung sampan untuk menunaikan hajatnya. Setelah meminta bantuan daripada penduduk tempatan, akhirnya dia berjaya mengupah seorang pendayung sampan. Akan tetapi, pendayung sampan itu seorang yang tua dan seolah tidak berdaya untuk mendayung sampan.

Professor tersebut memandang si pendayung sampan itu dengan panda
ngan yang angkuh kerana pendayung sampan tersebut memakai pakaian yang compang-comping. Pada hari yang telah dijanjikan, maka professor tersebut pun berjumpa dengan si pendayung sampan dan menaiki sampannya. Sepanjang perjalanan menuju ke pulau yang disasarkan, professor itu berasa sangat bosan lalu mengajak si pendayung sampan itu untuk berbual-bual.

Professor : Pak Cik, dah berapa lama Pak Cik kerja sebagai pendayung sampan ni?
Pak Cik : Hampir 30 tahun.
Professor : Wah! 30 tahun merupakan satu tempoh yang lama. Em..Pak Cik pernah belajar Biologi tak?

Pak Cik : Tak pernah.
Professor : Kesiannya. Kalau macam tu, Pak Cik kehilangan 30% daripada hidup Pak Cik. Em, Pak Cik pernah belajar Kimia tak?
Pak Cik : Tak pernah.
Professor : Kesian sungguh. Pak Cik dah kehilangan 60% hidup Pak Cik. Pak Cik pernah belajar Fizik tak?
Pak Cik : Tak pernah.
Professor : Sangat-sangat kesian saya tengok Pak Cik. Pak Cik dah kehilangan 90% hidup Pak Cik.

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba satu gelombang yang besar telah membalikkan sampan mereka dan mereka terjatuh di dalam laut. Pak Cik tersebut bertanya kepada professor itu.

Pak Cik : Anak pandai berenang tak?
Professor : Tak pandai.
Pak Cik : Kalau begitu, anak dah kehilangan 100% hidup anak.

Pak Cik pendayung sampan tersebut meninggalkan professor yang terpinga-pinga sambil terkapai-kapai cuba untuk berenang.
Begitulah al-kisah cerita yang dimaksudkan. Mungkin lain versi penceritaan, tetapi sama pengajaran. Akan tetapi, apa yang saya cuba sampaikan bukanlah dari segi sudut pengajaran yang sama. Tetapi, cerita ini juga mempunyai pengajaran untuk para pendakwah

Dalam kita menjalankan usaha dakwah, perlu kita untuk menguasai sebanyak mungkin ilmu yang kita perolehi tanpa menidakkan sebahagian daripadanya. Ini kerana, kemungkinan ilmu yang kita perolehi nampak seperti tidak berguna, akan tetapi ianya mungkin akan berguna pada masa-masa tertentu. Hal ini boleh kita lihat melalui professor yang sombong tadi. Dia pakar dalam bidangnya tetapi telah menidakkan ilmu yang remeh iaitu berenang. Akibatnya, dia telah kehilangan hidupnya.

Bagi para da'ie pula, fokus sasaran mad'u adalah penting. Akan tetapi, ilmu yang kita cari dan perolehi hendaklah bersifat syumul dan menyeluruh. Begitu juga dengan para mad'u kita. Kita tidak boleh memilih sasaran mad'u kita hanya pada satu golongan seperti golongan intelektual seperti mana yang dilakukan oleh beberapa organisasi dakwah. Seharusnya sasaran mad'u kita juga menyeluruh kerana dakwah Islam itu bukan untuk golongan tertentu tetapi untuk sekalian manusia dan alam.

Semoga pengajaran daripada cerita ini dapat difahami oleh para pendakwah semua.

Sebagai renungan dan untuk disampaikan oleh para pembaca kepada sesiapa sahaja.

Sirru ala barakatillah..Wallahualam..

Sunday, May 1, 2011

Pencarian Yang Tidak Pernah Terhenti


Dijemput Pulang – Ukay’s


Di dalam hidup kita seharian

Ada persamaan inginan

Mencari harta sebanyak mana

Masa terdaya

Bila mentari menyuluh bumi

Kita pun bangkit dari mimpi

Menyambung semula pencarian

Yang terhenti semalam

Kepuasan terpancar jelas

Bila yang diimpi terbukti

Dengan kekayaan yang dimiliki

Masih tidak lagi mencukupi

Memang begitu sikap manusia

Tidak puas dengan yang ada

Seolah harta di dunia

Bisa bawa ke sana

Kita terlupa harta yang nak dibawa

Amalan seharian itu yang pasti harus di hati

Sudah terlewat bila tubuh terbujur kaku

Tidak berfungsi

Di saat itulah terlihat semua di mana tempat kita

Harus diingat

Kita hanya musafir

Yang didatangkan hanya sementara

Menghunikan alam dan pasti akan dijemput untuk pulang

Dijemput pulang

Dijemput pulang



Teringat aku akan lagu di atas yang pernah dinyanyikan oleh kumpulan Ukay's suatu masa dulu. Ada maksud tersirat di sebalik lagu tersebut. Aku cerita secara umum la ye..


Rupanya dalam hidup kita sebagai manusia ni, memang tak pernah putus untuk mencari apa yang diinginkan. Sama ada harta, pangkat, dan sebagainya. Disebabkan fitrah inilah, syaitan laknatullah telah mengambil kesempatan terhadap fitrah ini, yang juga merupakan kelemahan manusia, untuk terus menghasut dan menjauhkan manusia daripada Allah.


Cuba anda perhatikan, bagaimana seorang yang dulu merupakan yang dihormati kerana ketinggian ilmunya dalam bidang agama kini telah jatuh tersungkur dan jauh daripada Allah semata-mata ingin mencari kekayaan dunia. Atau, seorang yang dulunya hebat apabila menyuarakan pendapat kini telah diabaikan pendapatnya kerana dia hanya mencari pujian insan, dan bukan keredhaan Tuhan.


Tanpa kita sedari, bila kita bangun dari lena, kita akan menyambung semula matlamat hidup kita semalam. Dan si syaitan pun akan terus menghasut kita. Seringkali kita jatuh dan jauh, tapi seringkali itu jugaklah insan yang dikasihiNya akan sentiasa sedar dan menyesal, Tetapi dek kerana hebat dan indahnya dunia, menyebabkan dia buta dalam mencari apa yang dicari.


Dengan kelalaian yang dihamparkan oleh syaitan, dengan hasutan yang dijanjikan oleh syaitan, kita terlupa siapa kita. Kita terlupa harta yang sebenarnya harta yang perlu kita cari dan kumpul untuk dibawa sebagai hamparan kita di alam barzakh dan akhirat kelak. Semua insan tidak pernah terkecuali melainkan insan yang benar-benar dilindungi olehNya.


Insan yang menaip ini pun bukanlan sempurna, turut melakukan kesilapan. Tetapi, sekadar berkongsi dan juga memuhasabahkan diri. Jika hendak dinanti diri ini untuk menjadi baik, entah bilakan tiba hari yang diimpikan.


Renung-renungkan dan sampai-sampaikan. Selamat beramal :)


Wallahualam..