About Me

My photo
"Allah tahu kemampuan kita..Allah tahu kejahilan dan kebodohan kita..cuma kita tidak tahu di mana hendak cari Allah..carilah Allah dalam setiap denyut nadimu..carilah Allah dalam setiap hela nafasmu..carilah Allah dalam setiap gerak langkahmu..dan carilah Allah dalam setiap degup jantungmu..kau akan temui Allah sentiasa ada untukmu.."

Sunday, January 24, 2010

Hikmah dari BADAR


Sudah menjadi lumrah manusia untuk memiliki sesuatu yang cantik atau banyak. Contohnya, seorang lelaki yang ingin mencari calon isterinya, sudah pasti akan menilai kecantikan rupa paras terlebih dahulu jika hati tidak dibajai dengan sinar iman. Manakala, seorang penjual sudah semestinya menginginkan keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding sebelumnya. Begitulah sifat manusia di akhir zaman ini, tidak terlepas diri yang menaip ini.

Namun, apakah kita menyedari bahawa kuantiti tidak menggambarkan kualiti? Sebenarnya, jumlah yang sedikit tetapi berkualiti adalah lebih baik daripada jumlah yang banyak tetapi tidak atau kurang berkualiti. Hal ii dapat dibuktikan melalui sirah nabi junjungan kita, Muhammad s.a.w di mana kuantiti yang sedikit dan berkualiti adalah yang terbaik untuk bergerak kerja dalam jemaah.

Contohnya, pada Peperangan Badar, iaitu peperangan yang pertama dalam sejarah Islam, jumlah tentera Muslimin pada ketika itu hanya 313 orang sahaja sedangkan jumlah tentera Musyrikin hampir 1000 orang. Namun, dengan izin Allah tentera yang sedikit tersebut berjaya mengalahkan jumlah tentera yang banyak.

Ahlul Badar yang menyertai peperangan Badar bukanlah pilihan yang sekadar mencukupi atau melengkapi jumlah tentera Muslimin semata-mata. Tetapi mereka dipilih oleh Rasulullah s.a.w sendiri dan dengan bantuanNya. Cuba kita renung sejenak, mengapa hanya 313 sahaja yang menyertai peperangan pertama ini? 313 yang dipilih merupakan yang terbaik di kalangan kaum Muslimin. Mereka dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

Pada saat peprangan sedang berlangsung, malaikat Jibrail bertanya kepada Rasulullah s.a.w : “Apakah kedudukan ahli Badar di kalangan kamu?” Rasulullah s.a.w menjawab : ”Mereka adalah yang terbaik di kalangan kami.” Lalu Jibrail pun menjawab : “Begitu juga dengan para malaikat yang menyertai peperangan ini, mereka adalah yang terbaik di kalangan kami.”

Begitulah sahabat yang dirahmati Allah sekalian, sedikit tidak semestinya akan kalah. Malah, jumlah yang banyak juga boleh gugur dan tumbang dek kealpaan dan kelalaian mereka sendiri.

Kita sedari, perjuangan kita bukanlah semata-mata mencari kuantiti, tetapi lebih kepada kualiti. Janganlah bersedih sekiranya jumlah kekuatan kita jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan jumlah pihak lawan atau musuh yang sentiasa mencari peluang untuk melemahkan semangat kita.

“Sesungguhnya, penolong kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan shalat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).”

Semoga kita terus kekal di jalan menuju keredhaanNya, insya Allah.


Friday, January 22, 2010

Kalau Tuhan Dikenali




Elektrik dan Dai'e


Salam….

Post ini ana taip setelah teringat kata-kata seorang pensyarah elektrik d IPTA yang ana sedang tuntuti sekarang. Pada mulanya, ana hanya mengambil kata-kata tersebut untuk kegunaan akademik semata-mata, tanpa ada makna yang tersirat lain. Namun, apabila difikirkan kembali, kata-kata pensyarah tersebut seakan-akan memberi ana gambaran kehidupan seorang da’ie. Berikut ana taip kata-kata pensyarah tersebut…..:


“Apabila arus elektrik masuk ke dalam sesebuah litar, ia tidak mengenal apa itu kipas, televisyen, radio atau mana-mana peralatan elektrik yang lain. Hanya, arus elektrik kenal adalah kapasitor, perintang atau induktor. Selepas memasuki litar elektrik, arus elektrik akan mencari ketiga-tiga komponen ini dan dari situ bermulalah arus yang menggerakkan atau menghidupkan sesuatu peralatan elektrik. Sebagai contoh, kipas. Setelah kipas dibekalkan tenaga elektrik, kipas tersebut akan berputar. Matlamat utama arus elektrik tadi dibekalkan bukanlah untuk menggerakkan kipas, tetapi untuk menyejukkan suasana yang panas, iaitulah fungsi atau tugas kipas.”


Jika kita selami kata-kata ini, kita akan mendapati begitulah seorang da’ie. Jika diumpamakan dengan ayat elektrik di atas, da’ie merupakan arus elektrik yang mempunyai potensi yang tinggi. Setiap da’ie mempunyai potensi masing-masing, sama seperti arus elektrik. Tidak semestinya arus elektrik yang lemah tidak mampu menghidupkan lampu. Kemudian, perintang, kapasitor, dan induktor merupakan mad’u yang sentiasa menanti arus elektrik, iaitulah da’ie, untuk ditarbiyahkan, walau sebesar mana komponen tersebut. Hasil daripada arus elektrik tadi, maka akan hiduplah lampu atau berputarlah kipas. Hal ini boleh disamaertikan dengan mad’u yang telah pun berjaya ditarbiyahkan oleh da’ie tersebut. Produk atau fungsi kipas tersebut, iaitu menyejukkan, merupankan matlamat utama kipas dicipta. Jadinya, seorang da’ie tidak boleh memandang akan sesuatu kejadian atau fenomena, tetapi hendaklah dia menyedari bahawa ada sesuatu yang lebih penting di sebalik kehadiran atau keadaan sesuatu situasi. Jangan kejar matlamat atau cita-cita, tetapi tumpukan perhatian kepada cara pelaksanaan atau kaedah untuk menjayakan sesuatu.


Insya Allah, dengan adanya kekuatan diri dan pertolongan daripadaNya, usaha dakwah kita tidak akan sia-sia meskipun banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Harus difahami dan diinsafi bahawa setiap ujian, dugaan, mehnah dan tribulasi serta pengorbanan merupakan sunnatullah dan mainan rutin kehidupan seorang da’ie dan mujahid dakwah.

Selamat berdakwah wahai para mujahid!

Friday, January 15, 2010

Sekadar Peringatan Buat Diri yang Lemah Ini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Terasa ringan pulak jari jemari kurniaan Ilahi ini untuk menekan 'keyboard' laptop di hadapan mata. Lama sudah ana tidak membuat 'post' baru. Rindu rasanya ingin meluahkan rasa hati dan perasaan di blog yang sudah lama ana tidak kunjungi, lantaran kesibukan dan dosa yang masih dan sentiasa ana lakukan. Walaubagaimanapun, masa yang ada pada kali ini, insya Allah ana gunakan sebaiknya untuk manfaat bersama..Insya Allah..

Sudah menjadi lumrah manusia yang hina seperti diri ini berada pada suatu masa yang gemilang, dan kemudiannya jatuh tersungkur lantaran kealpaan yang sentiasa menutup mata hati. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari daripada membuat kesilapan. Namun sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan tersebut adalah mereka yang sentiasa bertaubat membersihkan diri.

Taubat yang dimaksudkan bukanlah sekadar solat sunat taubat yang belum tentu akan dikerjakan oleh kita insan yang lemah ini. Serendah-rendah taubat adalah ucapan istighfar iaitu, "Astaghfirullah al-azim". Namun, tingkatan taubat yang paling rendah ini juga tidak mampu manusia hina di akhir zaman ini untuk melakukannya.

Diri ini bukanlah mulia di sisi Ilahi, apalagi di sisi manusia kerana diri ini juga melakukan kesilapan seharian yang mungkin disedari ataupun tidak. Namun, niat di hati hanya untuk mengajak sahabat-sahabat untuk memuhasabah diri saban waktu dan saban hari kita mampu untuk bernafas.

Terasa gerun apabila mengenang firman Nya dalam surah As-Soff ayat 2 dan 3 namun, pesanan dari kekasihNya menggagahkan niat dan diri ini untuk menaip teguran yang ditujukan khas untuk peringatan diri sendiri dan juga kepada sahabat-sahabat yang mencari redha Ilahi.

"Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat"

Semoga 'post' keluaran kali ini memberi impak kepada diri ana terutamanya dan juga kepada sahabat-sahabat dalam kehidupan seharian. Wallahu'alam.

Tuesday, December 29, 2009

Suara Mahasiswa Suara Dunia


Mahasiswa merupakan aset sesebuah negara yang sedang pesat membangun. Namun, apa yang menyedihkan golongan ini masih ramai yang tidak tahu atau belum menyedari akan kehebatan status sebagai seorang mahasiswa.

Jatuh bangunnya sesebuah kerajaan atau lebih tepat lagi sesebuah negara itu bergantung kepada jatuh bangunnya golongan mahasiswa. Hari ini, negara Malaysia mampu melahirkan ramai mahasiswa namun semuanya daripada aspek angka semata-mata. Mahasiswa kini mempunyai kuantiti yang banyak, mengatasi jumlah tenaga pengajar namun, kuantiti tidak menjamin kualiti.

Bukanlah bermaksud untuk meminggirkan golongan remaja yang bukan tergolong dalam golongan mahasiswa tetapi, golongan mahasiswa daripada golongan remaja merupakan satu gabungan yang boleh menggegar dunia. Goolongan mahasiswa daripada golongan remaja yang dimaksudkan adalah golongan yang bukan sekadar mengetahui dan memahami malah mengamalkan dan mempraktikkan agama di dalam kehidupan seharian.

Hari-hari mereka sarat dengan perancangan dan idea untuk menegakkan agama suci Islam di muka bumi Allah ini. Apa yang menyedihkan, terdapat sejumlah besar pemimpin kerajaan yang tidak menunjuk comntoh yang baik kepada remaja dan mahasiswa pada masa kini. Pemimpin tersebut melayu, dan beragama Islam, tetapi tidak megamalkan cara pemerintahan Islam di dalam pentadbirannya.

Kelab malam dan kedai arak serta judi masih lagi berleluasa lantaran sikap sejumlah besar pemimpin kerajaan pada masa kini. Malah ada pemimpin kerajaan yang merancang untuk kepentingan diri mereka semata-mata. Mahasiswa digelapkaburkan mata dan pandangan mereka dengan beberapa janji manis kerajaan seperti pinjaman dari segi kewangan terutamanya dan juga dari segi lain-lain.

Ayuh kita singkap sejarah Islam di waktu Islam belum berkuasa sepenuhnya terhadap bumi Arab. Rasulullah s.a.w yang merupakan kekasih Allah menjalankan sistem pemerintahan dan pentadbiran Islam yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah secara keseluruhannya. Hasil daripada sistem ini, maka lahirlah mahasiswa kelas pertama seperti Saidina Ali dan ramai lagi mahasiswa yang seangkatan dengan beliau.

Bukan hanya pada zaman Rasulullah s.a.w, malah pada zaman selepas kewafatan baginda s.a.w, lahirnya mahasiswa kelas pertama yang lebih hebat dan mampu menggegar dunia dengan tangan mereka seperti Salahuddin al-Ayubi dan Sultan Muhammad al-Fateh. Kehebatan kedua-dua mahasiswa Islam kelas pertama ini jelas membuktikan bahawa mahasiswa ini merupakan golongan yang mampu mengubah dunia dengan tangan mereka berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, bukan dengan nafsu dan fikiran yang telah disesatkotorkan oleh sebilangan besar pemimpin kerajaan pada masa kini.

Suka saya persembahkan lirik lagu mengenai Sultan Muhammad al-Fateh, penakluk kota Konstantinopel.

Utusan Tuhan bersabda Benarkan satu ketika Derapan kuda ‘kan tiba Bebaskan kota di Roma Tentera Fateh pun datang Hadis Nabi kuatkan iman Layar kapal rentas daratan Tanduk Emas dibantu Tuhan Tujuh puluh kapal pun tiba Byzantine gegak gempita Dua ratus ribu tentera Mimpi buruk sudah pun tiba Lapan ratus tahun penantian Konstantin akhir ditawan Panji panji Islam dikibar Hassan Tubuh syahid jiwa dikorban Itulah si anak muda Beraksi menggegar dunia Itulah sebaik raja Itulah sebaik tentera

Perlu saya katakan di sini bahawa Sultan Muhammad al-Fateh ketika kejayaan beliau menakluk kota Konstantinopel, beliau berusia di awal 20-an. Hasil didikan para ulama’ dan wali Allah yang diketuai oleh Syeikh Syamsuddin, beliau lahir sebagai mahasiswa Islam kelas pertama yang menggegar dunia.

Sebelum tangan ini berhenti menaip, sebelum otak dan akal ini kehabisan idea untuk diluahkan, saya seru diri saya dan seluruh mahasiswa Islam terutamanya,
MARILAH KITA KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH, TANAMKAN DALAM HATI UNTUK MENEGAKKAN DAULAH ISLAMIYAH DI MALAYSIA INI DAN HAPUSKAN PEMERINTAHAN KERAJAAN YANG TELAH LAMA JAUH TERSESAT DARI LANDASAN ISLAM YANG SEBENARNYA.

AYUH MAHASISWA!!!

KITA LAH ASET NEGARA INI!

KTA JUA LAH ASET AGAMA YANG SUCI INI!
HIDUP! HIDUP! HIDUP ISLAM!

HANCUR! HANCUR! MUSUH ISLAM!
ALLAHU AKBAR!!

Saturday, November 14, 2009

Cinta… Ada Apa Denganmu???


Bila disebut mengenai cinta, akan tebayanglah di benak fikiran kita tentang gambaran hati dan juga indahnya percintaan. Tidak kurang juga yang menyanyikan lagu-lagu cinta yang mengembalikan kenangan indah semasa bercinta. Bagi yang jiwanya islamik, nasyid-nasyid cinta didendangkan sebagai halwa telinga.

Setiap manusia memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi, tidak kurang juga untuk merindui dan dirindui. Namun, kesemuanya adalah dusta belaka. Memang kita akan terasa akan disayang atau dirindui, tetapi adakah dan apakah kita menyintai atau merindui pasangan? Jawapannya tentu sekali tidak. Hal ini kerana, jika diselami secara batinnya, alam percintaan merupakan alam penipuan, yang mana kedua-dua pasangan akan menggunakan topeng lakonan yang paling hebat sepanjang alam percintaan, tidak dinafikan ada pasangan yang berakhir dengan alam perkahwinan.

Ana teringat dengan beberapa rangkap lirik lagu Datuk Siti Nurhaliza : “Cinta itu buta dan cinta itu membutakan.. Aku cinta padamu hanyalah ungkapan..” Memang benar, cinta itu buta dan ia membutakan sesiapa yang tenggelam ke dalamnya. Bukan sahaja buta malah cinta juga pekak, bisu,cacat dan paling ana suka sebutkan mengenai cinta adalah bodoh.

Biarlah ana jelaskan satu persatu. Bilamana seseorang itu jatuh cinta dengan makhluk yang sama spesis dan berlawanan jantina dengannya, dia akan menutup segala pancainderanya semata-mata untuk memenangkan cintanya. Contohnya, seorang pemuda A mempunyai kawan yang ramai. Suatu hari, pemuda A jatuh cinta dengan gadis B. Kawan-kawan pemuda A mengetahui akan sikap buruk gadis B. Tetapi, pemuda A tersebut sudah tenggelam dengan arus percintaannya kepada gadis B.

Demi untuk memenangkan cintanya, pemuda A sanggup berenggang hubungan dengan kawan-kawannya. Hal inilah yang ana maksudkan dengan pancaindera tertutup. Begitulah sifat manusia. Sanggup memenangkan yang indah daripada kebenaran.

Begitulah cinta yang padanya tidak disertakan dengan cinta Allah. Sepatutnya dan sememangnya patut, sebagai manusia, kita mencari cinta Allah, Pencipta kita. Perlu diingatkan, cinta yang disebutkan di atas adalah cinta manusia semata-mata. Cintailah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sebagai penutup, ana nasihatkan kepada sahabat-sahabat supaya berhati-hatilah ketika perasaan ingin menyayangi itu datang. Biarlah kita disayangi oleh sesiapa sahaja, tetapi biarlah kita menyayangi siapa yang patut kita sayang. Suka juga ana peringatkan tidak ada istilah couple dalam Islam dan tidak pernah ada istilah COUPLE ISLAMIC dalam agama yang suci ini.

Ana akhiri post kali ini dengan beberapa rangkap lirik lagu Mahar Cinta oleh Deevotees

Bukanlah aku sengaja

Melindungi rasa di jiwa

Namun bimbang diri kan terleka

Hanyut dibuai angan dan mimpi indah

Hingga terabai segala cita

Sedang khayalan tak menjanjikan

Segunung kebahagiaan

Sebagai mahar hantaran

Apakah mungkin engkau mengerti

Setiap cinta yang dilafazkan

Bukanlah sekadar mainan

Tetapi sebuah janji....


Pesanan untuk diri ana, jagalah hati terhadap cinta. Wallahu’alam.



Ingatkah Kita???


Seringkali kita terleka akan nikmat dunia yang tidak bertepi ini, termasuklah diri ini. Ke mana akan kita pergi setelah nikmat dunia ini kita tinggalkan? Ana rasa semua sudah mempunyai jawapan di benak fikiran masing-masing. bagi soalan yang sedemikian, sudah tentulah jawapannya adalah alam barzakh.

Alam barzakh merupakan satu alam perpindahan, iaitu dari alam dunia ke alam akhirat. Sepertimana yang kita tahu, manusia akan menempuhi 5 alam kesemuanya sepanjang hidupnya ( sama seperti 5 pancaindera yang telah dianugerahkan Allah ) iaitulah, alam ruh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat.

Kesemua makhluk Allah yang bernama manusia akan melalui kelima-lima alam ini tanpa ada satu pun yang tertinggal. Cuma yang ingin dibincangkan di sini adalah khusus kepada alam barzakh, sebagai peringatan kepada diri ini dan juga kepada semua sahabat-sabahat sekalian. Semoga beroleh keberkatan daripadaNya.

ALAM BARZAKAH


















Alam yang seringkali kita tertinggal untuk diambil peringatan kerananya. Sedangkan Rasulullah s.a.w telah bersabda yang mana kira-kira bermaksud:

"Perbanyakkanlah mengingati pemusnah kepada kebahagiaan dunia, iaitulah mati"


Persoalannya, ( juga ditujukan kepada diri yang lemah ini ) apakah kita sudah menyiapkan diri untuk menghadapi barzakhnya kita nanti? Apakah cukup amalan kita untuk dibawa ke alam yang tiada siapa yang akan menolong kita...?

Ingin ana kongsi bersama sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian. Pemergiaan kita ke kubur diiringi oleh tiga benda yang mana di akhirnya hanya satu yang akan tinggal, ketiga-tiga benda tersebut adalah kelaura dan sanak saudara serta sahabat handai, harta dan kekayaan, dan amal soleh sepanjang kehidupan kita. Malangnya, hanya amal soleh sahajalah peneman kita di alam barzakh kelak. Sama-sama kita muhasabah diri, apakah amal soleh yang telah kita lakukan sepanjang kehidupan ini mampu untk menampung seksa yang bakal kita hadapi di barzakh kelak?

Suasana di dalam kubur amat dahsyat.Sabda Rasulullah s.a.w yang kira-kira bermaksud :

"Jika bukan kerana kamu tidak akan dikuburkan, nescaya aku akan memohon agar Allah memperdengarkan kamu seksa kubur seperti yang aku dengar sekarang."

Persoalan seksa kubur ini tidak perlulah ana huraikan denga panjang lebar, kerana ana sendiri tidak layak untuk menghurai dan membahaskannya. Sama-samalah kita berusaha sedaya mungkin untuk menghindari seksa ini selagi nyawa dikandung badan pemberianNya.

Firman Allah dalam surah As-Sajadah ayat 11 :

"Katakanlah : Malaikat Maut yang diturunkan kepadamu untuk ( mencabut nyawa )mu akan mematikanmu kemudian kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan."



Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Perbahasan alam barzakh akan menjadi lebih hebat sekiranya kita sendiri menyedari hakikat kematian itu yang akan menjemput kita. Post yang ana terbitkan ini ( dengan izinNya jua ) hanyalah untuk menyedarkan diri ana dan juga kepada semua sahabat-sahabat supaya sentiasa mengingati kemati dan mengharap pertemuan dengan khaliq kita, Allah subhanahu wata'ala.

Sekian, apa yang baik itu semuanya dari Allah dan apa yang kurang itu dari diri ana yang lemah ini namun hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah. Semoga berbahagia di alam barzakah. Wallahu'alam....Allahu Rabbuna.

Wednesday, November 4, 2009

Puisi Rabiatul 'Adawiyah

"Kekasih tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat mana pun,
kekasih ghaib dari penglihatanku dan peribadiku sekali pun,
tetapi Dia tidak pernah ghaib
di dalam hatiku walau sedetik pun."