"Allah tahu kemampuan kita..Allah tahu kejahilan dan kebodohan kita..cuma kita tidak tahu di mana hendak cari Allah..carilah Allah dalam setiap denyut nadimu..carilah Allah dalam setiap hela nafasmu..carilah Allah dalam setiap gerak langkahmu..dan carilah Allah dalam setiap degup jantungmu..kau akan temui Allah sentiasa ada untukmu.."
1) “Sesungguhnya setiap perjalanan musafir mustahil tidak mempunyai bekalan. Justeru itu, sediakanlah bekalan musafirmu semasa hidup di dunia untuk menempuhi perjalanan ke alam akhirat.”
2) “Wahai manusia! Bukankah kalian semua telah tahu bahawasanya tidak ada lagi tempat tinggal di akhirat kelak selain daripada neraka dan syurga, di mana kalian semua akan menuju ke arah salah satu di antara keduanya kelak.”
3) “Janganlah kalian semua dilalaikan oleh tugas-tugas duniawi di saat tibanya waktu solat. Bersegeralah kepadanya kerana sesiapa yang membiasakan dirinya melengah-lengahkan solat kerana tugas-tugas duniawinya nescaya syariat-syariat Islam yang lainnya akan lebih mudah dicuaikan olehnya.”
4) “Bekerjalah untuk dunia mengikut tahap kemampuan kalian dan beramallah untuk akhirat mengikut tahap kemampuan kalian juga.”
5) “Hati hanya mampu menolong pekerjaan kalian mengikut setakat mana keikhlasan kalian di dalam mengendalikan pekerjaan tersebut.”
6) “Sesungguhnya aku lebih khuatir dengan banyaknya dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh menusia daripada hebatnya tipu helah dan perancangan musuh mereka.”
7) “Celakalah bagi sesiapa yang kepentingan duniawinya mengatasi matlamat ukhrawinya.”
8) “Perbanyakkan olehmu mengingati mati dan persiapkanlah bekalan akhiratmu sebaik-baiknya sebelum ajal menemui kalian kerana sesungguhnya memperbanyakkan mengingati mati akan menjauhkan hati daripada terpesona dengan kelazatan dunia.”
Teringat akan satu permainan yang berorentasikan modul pada satu program yang ana sendiri jadi pengarah programnya. Terus terang ana ceritakan, ana tidak pernah mengikuti sebarang program yang bentuknya sedemikian rupa. Tetapi pada hari itulah, ana buat kali pertama menjadi pengarah program dan kali pertama mengikuti program seperti itu. Pengalaman sebegitu tidak akan luput di fikiran ana.
Wahai sahabat-sahabatku!
Sedarkah kita bahawa kita sekarang telah dihimpit oleh ancaman-ancaman musuh Islam yang sememangnya tidak pernah berputus asa untuk menjatuhkan, menghancurkan, dan menjahanamkn umat Islam seluruhnya di atas muka bumi Allah ini. Akan tetapi, penjagaan Allah tetap bersama dengan orang-orang yang sabar dan beriman hanya kepadaNya sehinggakan segala rencana hitam yang dirancangkan ke atas umat Islam dibalas di atas muka bumi ini, tatkala mereka (musuh-musuh Islam) masih hidup lagi!
Ingin sekali ana berkongsi pengalaman bersama-sama dengan sahabat-sahabat seperjuangan. Bayangkanlah wahai sabahatku! Andainya sebiji bola sepak atau bola getah permainan adik kita yang masih kecil, merupakan Islam yang kita sanjungi. Jika bola sepak tersebut diletakkan di tengah-tengah padang, dan akan disepak apabila referee meniup wisel, adakah kita akan mengambil bola tersebut dan mempertahankannya walaupun kita disepakterajangkan oleh pemain-pemain yang berada di padang. Bayangkan pula sekiranya pemain-pemain dan referee tidak mahu menghentikan permainan, adakah anda akan terus memeluk erat bola tersebut daripada di sentuh oleh kaki-kaki permain tersebut? Mampukah anda melakukan berseorangan?
Sahabat-sahabat yang ana kasihi kerana Allah sekalian,
Begitulah Islam di zaman moden ini. Sering menjadi sasaran umat-umat dan bangsa-bangsa yang tidak mahu Islam ini kembali tegak seperti mana yang pernah berlaku suatu masa dahulu. Ana petik hadis dari Muhammad s.a.w:
Dari Tsauban r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan dating mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.”
Maka salah seorang sahabat bertanya: “Apakah kerana kami sedikit pada ketika itu?”
Nabi s.a.w menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir. Dan Allah akan mencabut rasa gerum terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan.”
Seorang sahabat bertanya: “Apakah wahan itu ya Rasulullah?”
Nabi lalu menjawab: “Cinta pada dunia dan takut pada mati.”
Hadis riwayat Abu Daud.
Disebabkan itulah, pentingnya kita menggabungkan diri dalam jemaah Islamiyah yang matlamatnya hanya untuk menegakkan daulah Islamiyah di atas muka bumi Allah ini.
Sebenarnya, segala bentuk pencemaran alam sekitar dan bencana alam yang menimpa manusia pada ketika ini adalah kerana Islam semakin diabaikan. Dunia kita ketandusan dan kehausan nur Islami yang dahulunya pernah mekar 2/3 dunia ini, subhanallah.
Oleh itu, ayuhlah para sahabat seperjuanganku! Mari kita sama-sama mengorak langkah membawa panji Islami di atas muka bumi ini. Semoga dengannya, daulah Islamiyah akan kembali tegak seperti dahulu kala.
Sudah menjadi lumrah manusia untuk memiliki sesuatu yang cantik atau banyak. Contohnya, seorang lelaki yang ingin mencari calon isterinya, sudah pasti akan menilai kecantikan rupa paras terlebih dahulu jika hati tidak dibajai dengan sinar iman. Manakala, seorang penjual sudah semestinya menginginkan keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding sebelumnya. Begitulah sifat manusia di akhir zaman ini, tidak terlepas diri yang menaip ini.
Namun, apakah kita menyedari bahawa kuantiti tidak menggambarkan kualiti? Sebenarnya, jumlah yang sedikit tetapi berkualiti adalah lebih baik daripada jumlah yang banyak tetapi tidak atau kurang berkualiti. Hal ii dapat dibuktikan melalui sirah nabi junjungan kita, Muhammad s.a.w di mana kuantiti yang sedikit dan berkualiti adalah yang terbaik untuk bergerak kerja dalam jemaah.
Contohnya, pada Peperangan Badar, iaitu peperangan yang pertama dalam sejarah Islam, jumlah tentera Muslimin pada ketika itu hanya 313 orang sahaja sedangkan jumlah tentera Musyrikin hampir 1000 orang. Namun, dengan izin Allah tentera yang sedikit tersebut berjaya mengalahkan jumlah tentera yang banyak.
Ahlul Badar yang menyertai peperangan Badar bukanlah pilihan yang sekadar mencukupi atau melengkapi jumlah tentera Muslimin semata-mata. Tetapi mereka dipilih oleh Rasulullah s.a.w sendiri dan dengan bantuanNya. Cuba kita renung sejenak, mengapa hanya 313 sahaja yang menyertai peperangan pertama ini? 313 yang dipilih merupakan yang terbaik di kalangan kaum Muslimin. Mereka dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Pada saat peprangan sedang berlangsung, malaikat Jibrail bertanya kepada Rasulullah s.a.w : “Apakah kedudukan ahli Badar di kalangan kamu?” Rasulullah s.a.w menjawab : ”Mereka adalah yang terbaik di kalangan kami.” Lalu Jibrail pun menjawab : “Begitu juga dengan para malaikat yang menyertai peperangan ini, mereka adalah yang terbaik di kalangan kami.”
Begitulah sahabat yang dirahmati Allah sekalian, sedikit tidak semestinya akan kalah. Malah, jumlah yang banyak juga boleh gugur dan tumbang dek kealpaan dan kelalaian mereka sendiri.
Kita sedari, perjuangan kita bukanlah semata-mata mencari kuantiti, tetapi lebih kepada kualiti. Janganlah bersedih sekiranya jumlah kekuatan kita jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan jumlah pihak lawan atau musuh yang sentiasa mencari peluang untuk melemahkan semangat kita.
“Sesungguhnya, penolong kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan shalat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).”
Semoga kita terus kekal di jalan menuju keredhaanNya, insya Allah.
Post ini ana taip setelah teringat kata-kata seorang pensyarah elektrik d IPTA yang ana sedang tuntuti sekarang. Pada mulanya, ana hanya mengambil kata-kata tersebut untuk kegunaan akademik semata-mata, tanpa ada makna yang tersirat lain. Namun, apabila difikirkan kembali, kata-kata pensyarah tersebut seakan-akan memberi ana gambaran kehidupan seorang da’ie. Berikut ana taip kata-kata pensyarah tersebut…..:
“Apabila arus elektrik masuk ke dalam sesebuah litar, ia tidak mengenal apa itu kipas, televisyen, radio atau mana-mana peralatan elektrik yang lain. Hanya, arus elektrik kenal adalah kapasitor, perintang atau induktor. Selepas memasuki litar elektrik, arus elektrik akan mencari ketiga-tiga komponen ini dan dari situ bermulalah arus yang menggerakkan atau menghidupkan sesuatu peralatan elektrik. Sebagai contoh, kipas. Setelah kipas dibekalkan tenaga elektrik, kipas tersebut akan berputar. Matlamat utama arus elektrik tadi dibekalkan bukanlah untuk menggerakkan kipas, tetapi untuk menyejukkan suasana yang panas, iaitulah fungsi atau tugas kipas.”
Jika kita selami kata-kata ini, kita akan mendapati begitulah seorang da’ie. Jika diumpamakan dengan ayat elektrik di atas, da’ie merupakan arus elektrik yang mempunyai potensi yang tinggi. Setiap da’ie mempunyai potensi masing-masing, sama seperti arus elektrik. Tidak semestinya arus elektrik yang lemah tidak mampu menghidupkan lampu. Kemudian, perintang, kapasitor, dan induktor merupakan mad’u yang sentiasa menanti arus elektrik, iaitulah da’ie, untuk ditarbiyahkan, walau sebesar mana komponen tersebut. Hasil daripada arus elektrik tadi, maka akan hiduplah lampu atau berputarlah kipas. Hal ini boleh disamaertikan dengan mad’u yang telah pun berjaya ditarbiyahkan oleh da’ie tersebut. Produk atau fungsi kipas tersebut, iaitu menyejukkan, merupankan matlamat utama kipas dicipta. Jadinya, seorang da’ie tidak boleh memandang akan sesuatu kejadian atau fenomena, tetapi hendaklah dia menyedari bahawa ada sesuatu yang lebih penting di sebalik kehadiran atau keadaan sesuatu situasi. Jangan kejar matlamat atau cita-cita, tetapi tumpukan perhatian kepada cara pelaksanaan atau kaedah untuk menjayakan sesuatu.
Insya Allah, dengan adanya kekuatan diri dan pertolongan daripadaNya, usaha dakwah kita tidak akan sia-sia meskipun banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Harus difahami dan diinsafi bahawa setiap ujian, dugaan, mehnah dan tribulasi serta pengorbanan merupakan sunnatullah dan mainan rutin kehidupan seorang da’ie dan mujahid dakwah.
Terasa ringan pulak jari jemari kurniaan Ilahi ini untuk menekan 'keyboard' laptop di hadapan mata. Lama sudah ana tidak membuat 'post' baru. Rindu rasanya ingin meluahkan rasa hati dan perasaan di blog yang sudah lama ana tidak kunjungi, lantaran kesibukan dan dosa yang masih dan sentiasa ana lakukan. Walaubagaimanapun, masa yang ada pada kali ini, insya Allah ana gunakan sebaiknya untuk manfaat bersama..Insya Allah..
Sudah menjadi lumrah manusia yang hina seperti diri ini berada pada suatu masa yang gemilang, dan kemudiannya jatuh tersungkur lantaran kealpaan yang sentiasa menutup mata hati. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari daripada membuat kesilapan. Namun sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan tersebut adalah mereka yang sentiasa bertaubat membersihkan diri.
Taubat yang dimaksudkan bukanlah sekadar solat sunat taubat yang belum tentu akan dikerjakan oleh kita insan yang lemah ini. Serendah-rendah taubat adalah ucapan istighfar iaitu, "Astaghfirullah al-azim". Namun, tingkatan taubat yang paling rendah ini juga tidak mampu manusia hina di akhir zaman ini untuk melakukannya.
Diri ini bukanlah mulia di sisi Ilahi, apalagi di sisi manusia kerana diri ini juga melakukan kesilapan seharian yang mungkin disedari ataupun tidak. Namun, niat di hati hanya untuk mengajak sahabat-sahabat untuk memuhasabah diri saban waktu dan saban hari kita mampu untuk bernafas.
Terasa gerun apabila mengenang firman Nya dalam surah As-Soff ayat 2 dan 3 namun, pesanan dari kekasihNya menggagahkan niat dan diri ini untuk menaip teguran yang ditujukan khas untuk peringatan diri sendiri dan juga kepada sahabat-sahabat yang mencari redha Ilahi.
"Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat"
Semoga 'post' keluaran kali ini memberi impak kepada diri ana terutamanya dan juga kepada sahabat-sahabat dalam kehidupan seharian. Wallahu'alam.