About Me

My photo
"Allah tahu kemampuan kita..Allah tahu kejahilan dan kebodohan kita..cuma kita tidak tahu di mana hendak cari Allah..carilah Allah dalam setiap denyut nadimu..carilah Allah dalam setiap hela nafasmu..carilah Allah dalam setiap gerak langkahmu..dan carilah Allah dalam setiap degup jantungmu..kau akan temui Allah sentiasa ada untukmu.."

Tuesday, April 20, 2010

Isu Semasa

Assalamualaikum..

Dalam kita meniti kehidupan seharian, seringkali kita terlupa, leka dan alpa akan adanya nikmat Illahi yang tak terhingga. Setiap hirupan udara yang mengandungi oksigen yang masuk ke dalam paru-paru kita merupakan nikmat dariNya, apatah lagi bila setiap hembusan itu mengeluarkan bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh badan kita iaitu karbon dioksida.

Nikmat yang paling agung adalah nikmat Iman dan Islam yang mana kedua-duanya merupakan syarat kita untuk ke syurgaNya, walaupun diawal perjalanan kita di Mahsyar kelak bermula dengan pelbagai suka dan duka malah tidak pernah kita bayangkan sekalipun. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Esa, Allahu Rabbuna. Alhamdulillah.

Dunia saban hari mengecam masyarakat dengan pelbagai bencana alam yang seharusnya disedari semuanya bermula dengan tindakan manusia yang semakin rakus mengejar kekayaan dan kejayaan duniawi sehingga mengabaikan apa yang lebih penting bagi masa kini dan masa depan,

Lihat sahajalah, segala bencana alam yang berlaku pada masa kini semuanya berada di tempat di mana maksiat berleluasa, perintah Allah diabaikan, larangan Allah dikerjakan dan segala yang mungkar dilakukan dengan senang hati tanpa penyelesalan yang hakiki.

Bukan itu sahaja, isu buang bayi yang semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat Malaysia umumnya, dan dari kalangan umat Islam yang berada di Malaysia khususnya, tidak ada yang berna membanteras secara terang-terangan, malah ada yang menjadi dalang di sebalik kejadian yang berlaku.

Apakah kita lupa bahawa hidup kita bukan sahaja di dunia ini semata-mata? Apakah kita merasakan bahawa dunia ini kekal buat selama-lamanya? Adakah kita lupa bahawa MATI itu PASTI dan akan datang masa kita menghadapNya suatu hari kelak?

Setiap manusia akan dipersoalkan dan yang paling banyak dipersoalkan adalah para pemimpin yang telah diamanahkan untuk memimpin masyarakat ke arah yang lebih baik. Sekiranya pemimpin tersebut tidak mengabaikan urusan agama dan pentadbiran secara keseluruhannya, saya yakin, pasti dan percaya Malaysia tidak akan dibanjiri dengan anak-anak yang lahirnya tidak berbapa.

Tetapi apa yang menyedihkan, ada di kalangan pihak yang bertanggungjawab tidak melaksanakan amanah yang telah disandarkan ke atas bahunya sejak dari detik pertama beliau dilantik menjadi 'pemegang amanah'. Siapa yang makan cili, dialah yang akan merasa kepedasannya.

Suka saya bawakan sepotong ayat al-Quran:

"Wahai orang yang beriman! Mengapakah kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukan? Besar kebencian di sisi Allah akan apa yang kamu katakan tetapi tidak kamu lakukan"
~as-Soff : 3 & 4~

Segala apa yang baik, saya sandarkan ke atas agungnya khaliq, Maha Suci Engkau ya Allah. Manakala segala yang buruk, saya sandarkan ke atas diri yang hina, dina dan dhaif ini. Hakikatnya keduanya daripadaMu ya Rabbi.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment