About Me

My photo
"Allah tahu kemampuan kita..Allah tahu kejahilan dan kebodohan kita..cuma kita tidak tahu di mana hendak cari Allah..carilah Allah dalam setiap denyut nadimu..carilah Allah dalam setiap hela nafasmu..carilah Allah dalam setiap gerak langkahmu..dan carilah Allah dalam setiap degup jantungmu..kau akan temui Allah sentiasa ada untukmu.."

Thursday, July 4, 2013

Permata Yang Dicari

Hadirnya tanpa ku sedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan pada ku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku dengan ketentuan Mu

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru ku temui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan ku miliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan ku batasi dengan syariat Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan Mu

Ya Allah
Engkaulah tempatku bergantung harapanku
Ku harap diriku sentiasa di bawah rahmat Mu

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru ku temui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan ku miliki

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru ku temui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan ku miliki

Mesti kita pernah ternyanyi-nyanyi lagu ni kan..Memang benar, lagu ni membawa banyak maksud yang tersirat dan tersurat..dan dalam masa yang sama mengajar kita erti tawakal kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa..

Dalam lirik lagu tu, ada doa...Hah, apa lagi..amalkanlah :)

Sekadar perkongsian..

Tabarakallah..

Saturday, June 29, 2013

Road to Ramadhan

Assalamualaikum wbt..Alhamdulillah, pertama dan selamanya kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas segala nikmat yang dipinjamkan olehNya, hidayah serta inayahNya yang tiada berganti.. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w..

Alhamdulillah, dan insya Allah, dalam beberapa hari lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan, satu bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam yang beriman dan bertaqwa kepadaNya..

Bulan Ramadhan merupakan kekasih dan tetamu yang ditunggu-tunggu kerana di dalamnya mengandungi pelbagai nikmat dan rahmat Allah azza wa jalla.. Siapa yang tidak mahu peluang untuk mempertingkatkan amalan apabila semua jalan telah pun dibuka? Ditutup serapat-rapatnya pintu neraka, dan dibuka seluas-luasnya pintu syurga (hadis riwayat Muslim)..Allahu Rabbi..

"Maka nikmat Tuhanmu yang mana engkau dustakan?"

Bulan Ramadhan, seperti mana dijelaskan di dalam kitab suci al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman! Telah ditetapkan (diwajibkan) ke atas kamu berpuasa, sepertimana telah ditetapkan (diwajibkan) ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"
Surah al-Baqarah : 183

Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa berpuasa di bulan Ramadhan merupakan satu amalan wajib yang telah ditetapkan ke atas seluruh umat Islam. Di akhir ayat tersebut, Allah menggunakan ayat "mudah-mudahan kamu bertaqwa". Ayat ini merupakan ganjaran yang bakal diberikan kepada hambaNya yang taat beribadah dan menjaga puasanya.

Mustahil bagi seorang hamba yang beriman akan mengkhianati puasanya dengan membuang masa, melihat sesuatu yang diharamkan, mengumpat, dan lain-lain. Jika ada juga, maka perlu diperiksa diri kita sendiri, adakah kita ingin mendapat darjat orang yang bertaqwa selepas Ramadhan atau hanya mendapat lapar dan dahaga di dalam bulan Ramadhan kali ini?

Apabila kita sebut mengenai bulan Ramadhan, akan terbayang di fikiran kita mengenai suasana bersahur, berbuka puasa dan tidak ketinggalan suasana di bazaar Ramadhan..Allahu Rabbi..

Terlalu banyak isu yang berkisar di dalam bulan Ramadhan seperti tahun-tahun lepas...Di sini saya sertakan lirik lagu Ramadhan Dua Zaman yang dinyanyikan semula oleh Nazrey Johari dan kumpulan nasyid tempatan yang tidak asing, In-Team. Semoga ianya mampu untuk melahirkan keinsafan diri kita sebelum menyambut bulan Ramadhan..

Akhir kata, semoga Ramadhan kali ini dapat kita sapa dan semoga ianya menjadi Ramadhan yang terbaik dalam diri kita insya Allah..

Ramadhan Dua Zaman

Ramadhan..satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gembira cemerlang

Mukmin berjasa diawal zaman

Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman


Mereka gembira kerana kedatangan mu

Kami gembira dengan pemergian mu

Malam mereka meriah disimbah nur al quran
Tapi malam kami muram bertemukan mu

Mereka berlumba mengejar makrifat

Tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa


Takbir mereka takbir kemenangan

Hadiah mujahadah sebulan ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga


Friday, June 21, 2013

[TAZKIRAH SUBUH] - Jumaat 21/6/2013

awal pagi ni tertengok banyak page yang di recommend kan oleh fb..ada jugak kawan2 yang ter-recommend page..timbul persoalan di benak fikiran..apa perlunya kita like page tersebut?

apa maksud LIKE? kalau di-translate-kan ke dalam BM, like tu bermaksud SUKA..kalau kita like sesuatu page tu, walau apa pun yang page tersebut post-kan, maksudnya kita suka..betul kan?jadi, kalau page tersebut bawak sesuatu yang salah, kita pun tetap suka jugak..hah, jadi macam mana tu?

kalau page yang membesarkan Allah, yang menginsafkan diri, yang membawa perkongsian ilmu yang bermanfaat, tidak menjadi masalah..tetapi, sekiranya page tersebut hanya meng-like para artis, berbentuk komuniti yang mana kita boleh kenal orang lain di dalam page tersebut seperti page bagi sesebuah negeri, dan macam-macam lagi..apatah lagi page yang lucah dsb, maka sewajarnya kita tidak perlu like..nak tengok boleh, like jangan..

kenapa?kerana SETIAP LIKE MEMBAWA PADAH!kita mendapat share jika page tersebut post sesuatu yang tidak selari dengan hukum syariat..bukan niat untuk melarang, tapi dunia kita terlalu senang dan ringkas..dan dunia laman sosial ni penuh fitnah..

wallahu'alam..tabarakallah..

p/s:- gantikan perkataan LIKE dengan FOLLOW..semuanya sama sahaja..oh, terlupa..ianya turut diaplikasi ke dalam GROUP..tabarakallah..

Wednesday, January 30, 2013

Baitul Muslim: Realiti & Fantasi



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, kali ini penulis diberi kekuatan untuk menulis dan berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang dipinjamkan oleh Allah, untuk dimanfaatkan bersama. Sememangnya dalam sabda baginda Rasulullah s.a.w: “Yang paling baik di antara kamu ada yang bermanfaat kepada orang lain”

Insya Allah hari ini, penulis akan berkongsi satu tajuk yang agak berat tetapi ianya berlegar di masyarakat kita, terutama di kalangan mereka yang berpegang teguh dengan agama Islam dan beramal dengannya.

Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menjadikan Islam itu sebagai ad-Din atau dalam bahasa mudahnya, cara hidup. Dalam firman Allah s.w.t: “Sesungguhnya ad-Din (cara hidup) di sisi Allah adalah Islam”. Dalam hal ini, seharusnya kita beramal dan hidup dengan cara Islam kerana tidak dapat dinafikan bahawa Islam itu merangkumi seluruh aspek kehidupan.

Sebagai seorang Muslim juga, hidup kita ini terbahagi kepada empat peringkat iaitu:
i.                    Fardhu Muslim (Individu Muslim)
ii.                  Baitul Muslim (Keluarga/Rumahtangga Muslim)
iii.                Mujtama’ Muslim (Masyarakat Muslim)
iv.                Daulah Muslim (Negara Muslim)

Kempat-empat tingkatan hidup ini perlu di dalam diri seorang muslim. Timbul persoalan sekiranya ianya tidak mengikuti langkah dalam tingkatan tersebut, apakah dibolehkan. Seperti contoh, tingkatan yang kedua dilangkau dan terus kepada tingkatan ketiga. Ianya bergantung kepada individu tersebut. Namun, dalam keluaran kali ini tidak memfokuskan perbincangan kepada tingkatan hidup seorang muslim.


Baitul Muslim

Baitul Muslim merupakan satu istilah yang merujuk kepada pembinaan keluarga atau rumahtangga Islam. Perkataan ini diambil secara langsung dari Bahasa Arab iaitu Bait al-Muslim yang bermaksud rumah orang Islam. Baitul Muslim menggariskan beberapa kriteria dalam membentuk sebuat keluarga dan rumahtangga yang berdasarkan Islam itu sendiri.

Baitul Muslim sangat mementingkan dan menekankan perhubungan di antara pasangan atau lebih dikenali dengan istilah ikhtilat, iaitu batas dalam pergaulan. Oleh itu, Baitul Muslim ini seiringan dengan adanya orang tengah sebagai penghubung antara kedua-dua insan ini.


 Mengapa perlunya orang tengah?

Seharusnya, apabila dua orang insan, muslimin dan muslimat atau lelaki dan perempuan, ingin berbicara atau berbincang berkenaan perkara yang membabitkan masalah hati perlunya ada orang tengah. Kerana sabda Rasulullah s.a.w : Tidak berdua-duan lelaki dan perempuan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”

Orang tengah merupakan satu entiti yang memudahkan proses-proses yang akan dilaksanakan sepanjang ke arah membina Baitul Muslim.

Orang tengah yang dilantik ini mestilah mempunyai beberapa kriteria yang membolehkannya untuk menjadi orang tengah. Antaranya:
  • ·         Amanah – terutamanya dalam menjaga kerahsiaan antara kedua-dua individu
  • ·         Dipercayai – dalam aspek menegur sekiranya kedua-duanya melampaui batas
  • ·         Baik akhlaknya dan teguh imannya
  • ·         Pandai memberi nasihat dan seorang yang senang dalam memberi pendapat.



Implikasi sekiranya tiada orang tengah.

Walaupun ‘melantik’ orang tengah ini kelihatan seperti remeh dan menyusahkan, namun implikasi terhadap ketiadaan orang tengah dalam menguruskan dua insan yang berlainan jantina dalam masalah hati amatlah besar.

Dengan adanya orang tengah, maka segala aktiviti-aktiviti yang berlandaskan nafsu seperti contoh ingin makan bersama dengan pasangan, akan dapat dielakkan. Tidak dinafikan, ada yang mengatakan bahawa orang tengah ini tidak perlu kerana kita mampu untuk menahan diri sendiri. Akan tetapi, sejauh dan selama manakah kita mampu untuk menahan diri kita? Apakah hati kita tidak akan terdetik rasa untuk menghantar mesej bertanyakan khabar si dia secara peribadi? Apakah kita mampu untuk menghalang diri, hati dan minda kita daripada merindui si dia? Kalau kita yakin 100% mampu untuk tidak mengalami sebarang masalah rindu, maka bolehlah kita mengatakan bahawa orang tengah ini tidak perlu. Namun, sebagai seorang muslim di akhir zaman kita perlu mengakui kelemahan dan kedhaifan diri kita.


Penekanan

Ada beberapa perkara yang ditekankan dalam Baitul Muslim secara umumnya. Perkara ini akan dihuraikan dalam bentuk situasi supaya mudah untuk difahami, in sha Allah.

i.                    Merisik
Dalam hal ini, mengambil contoh seorang lelaki atau muslimin berkenan kepada seorang perempuan atau muslimat, muslimin tersebut perlu menggunakan orang tengah dalam bertanyakan keadaan pada pihak muslimat. Pihak muslimin boleh bertanyakan kepada pihak muslimat berkenaan keadaan dirinya, apakah sudah berpunya atau belum melalui orang tengah tersebut. Sekiranya pihak muslimat mengatakan bahawa dia belum berpunya, maka orang tengah yang telah dilantik sebelumnya perlu menyedari bahawa kedua-dua insan yang diamanahkan kepadanya akan melalui peringkat seterusnya.

ii.                  Berkenalan
Di dalam Islam, tidak ada istilah yang dikatakan couple. Yang dibolehkan di dalam Islam adalah kita berkenal-kenalan sekiranya kita berkenan terhadap seseorang. Dalam konteks masyarakat sekarang, ianya lebih dikenali sebagai bertunang.

Dalam peringkat ini, kedua-dua individu dibolehkan untuk bertanya soalan-soalan yang berkaitan dengan diri masing-masing, sebagai contoh hal-hal yang berkaitan dengan keluarga, diri mahupun pekerjaan.

Dalam hal ini juga, peranan orang tengah amat diperlukan untuk mengelak sebarang persoalan dan perbualan yang melampaui batas.

Peringkat berkenal-kenalan ini mungkin mengambil masa sedikit kerana ianya diselangi dengan istikharah dan istisyarah iaitu pergantungan kepada Allah dalam membuat keputusan dan perbincangan sesama manusia berkenaan dengan keputusan yang akan dipilih. Dinasihatkan dalam membuat keputusan, hendaklah sabar dan jangan terburu-buru supaya keputusan yang akan diambil kelak tidak memakan diri.

iii.                Nikah
Sekiranya kedua-dua insan tersebut telah bersetuju untuk menjadikan diri masing-masing sebagai pasangan hidup, maka peringkat seterusnya adalah nikah. Islam tidak menggalakkan penganutnya untuk berkenalan atau bertunang dengan lebih lama kerana dikhuatiri akan adanya masalah hati yang lebih berat ataupun tidak sampai kepada nikah.

Di peringkat ini, perlunya kedua-dua insan berbincang dengan keluarga masing-masing. Orang tengah hanya membantu sekiranya kedua-dua pihak memerlukan nasihat dalam menangani keluarga kerana di peringkat ini, kedua-dua individu akan lebih banyak meluangkan masa bersama dengan keluraga masing-masing.


Isu di sekitar BM

Dari Abu Hurairah dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Wanita dinikahi karena empat perkara, karena hartanya, karena martabatnya, karena kecantikannya, dan karena agamanya, maka hendaklah engkau mendapatkan wanita yang baik agamanya”
Maka daripada hadis ini jugalah timbulnya beberapa isu yang berlegar di sekitar Baitul Muslim.
 
i.                    Perigi mencari timba
Istilah ini merupakan istilah yang timbul dalam adat Melayu yang sehingga kini masih lagi digunakan oleh beberapa orang yang sangat berpegang dengan adat. Memang di dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa “wanita itu dinikahi”, namun hadis ini boleh juga dipraktikkan oleh kaum Hawa untuk merisik ataupun melamar kaum Adam kerana hanya mereka yang tahu berkenaan dengan diri mereka. Namun, 4 ciri-ciri yang dinyatakan di atas tetap menjadi garis pandu dalam memilih pasangan.

Sekiranya istilah ini masih digunapakai sehingga ke hari ini dan masa depan, maka akan berlaku satu masalah yang melibatkan kaum Hawa iaitu lambakan wanita. Hal ini kerana, fitrah manusia sukakan kecantikan dan hampir kesemua kaum Adam pada hari ini hanya melihat yang cantik melebih agamanya, walaupun tidak semuanya sedemikian.

Lantas, seorang wanita juga boleh memilih seorang lelaki untuk dijadikan teman hidupnya. Persoalan yang mungkin timbul adalah berkaitan dengan kekurangan kaum Adam pada akhir zaman ini.

ii.                  Poligami
Istilah ini mendatangkan trauma dan rasa tidak selesa kaum wanita apabila mendengarnya. Namun, tidak dinafikan ada juga yang tiada masalah dengannya kerana tiada pilihan untuk mencari lelaki yang baik ataupun terpaksa.

Kemungkinan, seorang wanita terpaksa meletakkan dirinya untuk menjadi isteri yang kedua atau ketiga atau keempat kerana lelaki tersebut sangat baik akhlaknya dan juga seorang yang soleh. Di akhir zaman ini, tidak dinafikan bahawa teramat sukar untuk mencari lelaki yang soleh dan baik akhlaknya.

Ianya menjadi satu masalah apabila isteri pertama tidak menyetujui tindakan si suami untuk beristeri lagi sedangkan si isteri pertama itu masih lagi sempurna dan mampu untuk melahirkan zuriat.  Dalam situasi sebegini, kedua-dua belah pihak perlu bijak dalam berkomunikasi.
·         Si suami perlu akui bahawa sebarang kata-kata yang mungkin keluar dari mulut isterinya apabila isu ini diutarakan merupakan satu tindakan refleks atau secara tidak langsung. Si suami perlu juga menyedari bahawa si isteri tidak ingin berkongsi kasih.
·         Sekiranya wanita lain menginginkan suami kepada wanita lain, maka wanita tersebut seharusnya berbincang secara baik dan rasional dengan lelaki tersebut bersama dengan isterinya. Dalam hal ini, si suami perlu bijak iaitu dengan menyerahkan segala keputusan kepada si isteri. Biarkan wanita tersebut berbincang dengan si isteri kerana hanya wanita yang memahami hati wanita. Namun, perlu dipantau kerana dikhuatiri akan timbulnya pergaduhan. Walaupun dalam perbincangan tersebut si isteri tidak menyetujui niat wanita tersebut, akan tetapi mereka tidak akan bermusuh malah boleh berkawan seperti biasa.
·         Si isteri perlu juga memahami akan keadaan dunia zaman sekarang. Perkara ini agak sukar kerana walaupun si isteri faham akan situasi wanita lebih ramai daripada lelaki, tetapi tidak semuanya akan berasa selesa akan kehadiran orang ketiga. Maka, perbincangan dari hati ke hati dengan si suami perlu diadakan sebaik dan sekerap mungkin.

iii.                Memilih pasangan
Dalam hal ini, amatlah berat sekiranya kita meletakkan kecantikan luaran sebagai kriteria calon yang pertama. Berdasarkan pengalaman, ramai yang memilih kecantikan melebihi agama, meskipun kedua-duanya orang yang kuat agamanya. Seperti contoh, seorang lelaki akan terus berkenan kepada seorang wanita yang tidak kenali dan pertama kali dilihat olehnya, ditambah lagi dengan keayuan dan kecantikannya, meskipun lelaki tersebut merupakan seorang yang kuat ilmu agamanya. Memang, fitrah manusia sukakan kecantikan kerana Allah juga sukakan kecantikan. Tetapi, apakah sebelumnya kita juga menjumpai dan bersosial secara tidak langsung dengan wanita lain yang kuat agamanya tetapi tidak menyedari ‘kecantikan’ agamanya malah terus berkenan dengan wanita yang lebih cantik? Semua itu, tepuk dada tanya iman masing-masing.


Demikianlah tadi beberapa perkongsian yang penulis rasakan belum cukup untuk menjelaskan Baitul Muslim secara lebih mendalam, mungkin kerana masih lagi kekurangan ilmu ataupun belum diizinkan oleh Allah s.w.t. Akan tetapi, perkongsian ini diharapkan boleh memberi manfaat kepada pembaca.

Di sini, penulis ingin memberi nasihat kepada para pembaca yang dari pelbagai generasi.
·         Janganlah diadakan cinta sebelum adanya pernikahan, kerana cinta selepas nikah itu tersangat manis dan nikmat, melebih adanya cinta sebelum nikah.
·         Bentengilah diri dengan iman dan taqwa yang mendalam kepada Allah s.w.t kerana hanya dengan iman dan taqwa kepadaNya sahajalah yang mampu menyelamatkan kita dari godaan serta bisikan syaitan dan hawa nafsu.
·         Kepada pembaca yang sedang ‘ber-couple’ diharapkan supaya berhenti ataupun terus mengikat diri masing-masing dengan perhubungan yang sah.
·         Kepada para ibu bapa, sekiranya anak-anak anda meluahkan hasratnya untuk berkahwin, janganlah dimarahi akan tetapi mereka perlu diberi panduan supaya mereka faham akan erti perkahwinan tersebut. Sekiranya mereka mampu untuk menganggung segala ujian dalam perkahwinan meskipun mereka masih menuntut di menara gading, maka sokong dan bantulah mereka dalam membuat keputusan kerana perlu kita sedari bahawa dunia zaman sekarang amat kejam.
·         Bernikah di usia muda berkemungkinan boleh menjadi salah atau betul. Ianya salah sekiranya semuanya serba tidak kena. Sebagai contoh, tidak mampu untuk menanggung isteri, tiada perancangan yang rapi dan kemas dalam menghadapi hidup di alam rumahtangga. Dan ianya boleh menjadi betul sekiranya segala persiapan untuk menghadapi ujian yang bakal menimpa telahpun disusun dan disediakan dengan rapi dan kemas, diiringi dengan perbincangan bersama dengan kedua ibu bapa.
·         Perkahwinan bukanlah untuk sehari dua, akan tetapi sehingga ke hembusan nafas yang terakhir, bukan pula untuk memenuhi kehendak nafsu semata, akan tetapi merupakan satu ibadat kepada Allah.

Semoga bermanfaat kepada semua. Sebarang kekurangan atau kesalahan dalam penulisan amatlah dikesali lantaran kurangnya ilmu.

Apa yang baik semuanya dari Allah, yang lemah dari diri penulis yang hina. Hakikatnya kedua-duanya dari Allah s.w.t.

Sekian, wassalam.

Thursday, January 24, 2013

Maulidur Rasul

Assalamualaikum..

Allahu Rabbi, lama dah blog ni tak tersentuh. Jari jemari ni pun dah keras..huhu.. Tapi, insya Allah..akan cuba mempersembahkan sebaik mungkin.

Alhamdulillah, hari ini umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh dunia umumnya menyambut sambutan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, Rasul Junjungan mulia, kekasih Allah. Walaupun para ulama' mempunyai khilaf dalam menetapkan tarikh kelahiran baginda s.a.w, namun ianya bukanlah penghalang kepada kecintaan kita kepada insan mulia ini.

Hari ini, di kaca-kaca televisyen disiarkan program-program yang menarik sama ada secara langsung mahupun tidak. Lagu-lagu nasyid turut kedengaran di corong-corong radio dan juga MP3 :)

Di sini saya cuba kongsikan sirah-sirah yang mungkin pernah kita dengar atau baca sebelum ni, malah mungkin juga sebagai modal di dalam ceramah-ceramah, tazkirah atau usrah-usrah yang masing-masing buat. Hehehe :)

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah sekalian,
Kisahnya bermula daripada Nabi Ibrahim a.s yang mana pada ketika itu baginda mempunyai dua orang isteri iaitu Sarah dan Hajar. Hajar merupakan hamba wanita kepada Sarah. Namun, disebabkan Sarah belum berupaya untuk mengandung zuriat Nabi Ibrahim a.s walaupun mereka telah lama berkahwin, lalu Sarah mencadangkan supaya Nabi Ibrahim a.s mengahwini Hajar.

Hasil daripada perkahwinan Nabi Ibrahim a.s dan Hajar, maka lahirlah Nabi Ismail a.s. Pada awalnya, Sarah dan Hajar tinggal serumah. Setelah beberapa tahun, maka lahirlah Nabi Ishak hasil daripada perkahwinan Nabi Ibrahim a.s dan Sarah. Pada suatu hari, Sarah menyuruh Nabi Ibrahim membawa keluar Hajar dan Ismail a.s.

Hajar dan Nabi Ismail a.s ditinggalkan di tengah gurun padang pasir yang kering dan tandus, tiada bangunan dan tiada penempatan yang dinamakan Becca. Di sinilah terjadinya peristiwa Hajar berlari ulang-alik dari Safa ke Marwah sebanyak 7 kali dan juga penemuan Telaga Zam-Zam, hasil dari hentakan kaki Nabi Ismail a.s.

Daripada Nabi Ishak, maka lahirlah keturunan Nabi Ya'qub dan bangsa Bani Israil yang mana Nabi Yusuf a.s. juga merupakan keturunan Nabi Ya'qub. Bermula dari sinilah para anbiya' berketurunan Bani Israil. Manakala daripada Nabi Ismail a.s maka lahirlah qabilah-qabilah, bani-bani yang hubungannya sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Daripada sirah ini, dapat kita lihat bahawa keturunan Nabi Muhammad s.a.w daripada silasilah yang baik. Dalam hadis baginda s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim,

"Sesungguhnya Allah memilih Ismail dari anak Ibrahim, memilih Bani Kinanah dari Bani Ismail, memilih bangsa Qurasiy dari Bani Kinanah, memilih Bani Hasyim dari bangsa Quraisy dan memilih aku cari Bani Hasyim."

Sesungguhnya, sesiapa yang mencintai Rasulullah s.a.w maka dia juga mencintai Allah. Sama-samalah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Semoga kita mendapat syafaat daripada baginda di akhirat kelak, insya Allah.

Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad..