Assalamualaikum..
Allahu Rabbi, lama dah blog ni tak tersentuh. Jari jemari ni pun dah keras..huhu.. Tapi, insya Allah..akan cuba mempersembahkan sebaik mungkin.
Alhamdulillah, hari ini umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh dunia umumnya menyambut sambutan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, Rasul Junjungan mulia, kekasih Allah. Walaupun para ulama' mempunyai khilaf dalam menetapkan tarikh kelahiran baginda s.a.w, namun ianya bukanlah penghalang kepada kecintaan kita kepada insan mulia ini.
Hari ini, di kaca-kaca televisyen disiarkan program-program yang menarik sama ada secara langsung mahupun tidak. Lagu-lagu nasyid turut kedengaran di corong-corong radio dan juga MP3 :)
Di sini saya cuba kongsikan sirah-sirah yang mungkin pernah kita dengar atau baca sebelum ni, malah mungkin juga sebagai modal di dalam ceramah-ceramah, tazkirah atau usrah-usrah yang masing-masing buat. Hehehe :)
Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah sekalian,
Kisahnya bermula daripada Nabi Ibrahim a.s yang mana pada ketika itu baginda mempunyai dua orang isteri iaitu Sarah dan Hajar. Hajar merupakan hamba wanita kepada Sarah. Namun, disebabkan Sarah belum berupaya untuk mengandung zuriat Nabi Ibrahim a.s walaupun mereka telah lama berkahwin, lalu Sarah mencadangkan supaya Nabi Ibrahim a.s mengahwini Hajar.
Hasil daripada perkahwinan Nabi Ibrahim a.s dan Hajar, maka lahirlah Nabi Ismail a.s. Pada awalnya, Sarah dan Hajar tinggal serumah. Setelah beberapa tahun, maka lahirlah Nabi Ishak hasil daripada perkahwinan Nabi Ibrahim a.s dan Sarah. Pada suatu hari, Sarah menyuruh Nabi Ibrahim membawa keluar Hajar dan Ismail a.s.
Hajar dan Nabi Ismail a.s ditinggalkan di tengah gurun padang pasir yang kering dan tandus, tiada bangunan dan tiada penempatan yang dinamakan Becca. Di sinilah terjadinya peristiwa Hajar berlari ulang-alik dari Safa ke Marwah sebanyak 7 kali dan juga penemuan Telaga Zam-Zam, hasil dari hentakan kaki Nabi Ismail a.s.
Daripada Nabi Ishak, maka lahirlah keturunan Nabi Ya'qub dan bangsa Bani Israil yang mana Nabi Yusuf a.s. juga merupakan keturunan Nabi Ya'qub. Bermula dari sinilah para anbiya' berketurunan Bani Israil. Manakala daripada Nabi Ismail a.s maka lahirlah qabilah-qabilah, bani-bani yang hubungannya sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Daripada sirah ini, dapat kita lihat bahawa keturunan Nabi Muhammad s.a.w daripada silasilah yang baik. Dalam hadis baginda s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim,
"Sesungguhnya Allah memilih Ismail dari anak Ibrahim, memilih Bani Kinanah dari Bani Ismail, memilih bangsa Qurasiy dari Bani Kinanah, memilih Bani Hasyim dari bangsa Quraisy dan memilih aku cari Bani Hasyim."
Sesungguhnya, sesiapa yang mencintai Rasulullah s.a.w maka dia juga mencintai Allah. Sama-samalah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Semoga kita mendapat syafaat daripada baginda di akhirat kelak, insya Allah.
Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad..
No comments:
Post a Comment