Assalamualaikum
dan salam sejahtera. Alhamdulillah, kali ini penulis diberi kekuatan untuk
menulis dan berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang dipinjamkan oleh Allah, untuk
dimanfaatkan bersama. Sememangnya dalam sabda baginda Rasulullah s.a.w: “Yang
paling baik di antara kamu ada yang bermanfaat kepada orang lain”
Insya
Allah hari ini, penulis akan berkongsi satu tajuk yang agak berat tetapi ianya
berlegar di masyarakat kita, terutama di kalangan mereka yang berpegang teguh
dengan agama Islam dan beramal dengannya.
Sebagai
seorang Muslim, kita seharusnya menjadikan Islam itu sebagai ad-Din atau dalam
bahasa mudahnya, cara hidup. Dalam firman Allah s.w.t: “Sesungguhnya ad-Din (cara
hidup) di sisi Allah adalah Islam”. Dalam hal ini, seharusnya kita beramal dan
hidup dengan cara Islam kerana tidak dapat dinafikan bahawa Islam itu
merangkumi seluruh aspek kehidupan.
Sebagai
seorang Muslim juga, hidup kita ini terbahagi kepada empat peringkat iaitu:
i.
Fardhu Muslim (Individu Muslim)
ii.
Baitul Muslim (Keluarga/Rumahtangga
Muslim)
iii.
Mujtama’ Muslim (Masyarakat Muslim)
iv.
Daulah Muslim (Negara Muslim)
Kempat-empat
tingkatan hidup ini perlu di dalam diri seorang muslim. Timbul persoalan
sekiranya ianya tidak mengikuti langkah dalam tingkatan tersebut, apakah
dibolehkan. Seperti contoh, tingkatan yang kedua dilangkau dan terus kepada
tingkatan ketiga. Ianya bergantung kepada individu tersebut. Namun, dalam
keluaran kali ini tidak memfokuskan perbincangan kepada tingkatan hidup seorang
muslim.
Baitul
Muslim
Baitul
Muslim merupakan satu istilah yang merujuk kepada pembinaan keluarga atau
rumahtangga Islam. Perkataan ini diambil secara langsung dari Bahasa Arab iaitu
Bait al-Muslim yang bermaksud rumah orang Islam. Baitul Muslim menggariskan
beberapa kriteria dalam membentuk sebuat keluarga dan rumahtangga yang
berdasarkan Islam itu sendiri.
Baitul
Muslim sangat mementingkan dan menekankan perhubungan di antara pasangan atau
lebih dikenali dengan istilah ikhtilat, iaitu batas dalam pergaulan. Oleh itu,
Baitul Muslim ini seiringan dengan adanya orang tengah sebagai penghubung
antara kedua-dua insan ini.
Mengapa
perlunya orang tengah?
Seharusnya,
apabila dua orang insan, muslimin dan muslimat atau lelaki dan perempuan, ingin
berbicara atau berbincang berkenaan perkara yang membabitkan masalah hati
perlunya ada orang tengah. Kerana sabda Rasulullah s.a.w : Tidak berdua-duan
lelaki dan perempuan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”
Orang
tengah merupakan satu entiti yang memudahkan proses-proses yang akan
dilaksanakan sepanjang ke arah membina Baitul Muslim.
Orang
tengah yang dilantik ini mestilah mempunyai beberapa kriteria yang
membolehkannya untuk menjadi orang tengah. Antaranya:
- · Amanah – terutamanya dalam menjaga kerahsiaan antara kedua-dua individu
- · Dipercayai – dalam aspek menegur sekiranya kedua-duanya melampaui batas
- · Baik akhlaknya dan teguh imannya
- · Pandai memberi nasihat dan seorang yang senang dalam memberi pendapat.
Implikasi
sekiranya tiada orang tengah.
Walaupun
‘melantik’ orang tengah ini kelihatan seperti remeh dan menyusahkan, namun
implikasi terhadap ketiadaan orang tengah dalam menguruskan dua insan yang
berlainan jantina dalam masalah hati amatlah besar.
Dengan
adanya orang tengah, maka segala aktiviti-aktiviti yang berlandaskan nafsu seperti
contoh ingin makan bersama dengan pasangan, akan dapat dielakkan. Tidak dinafikan,
ada yang mengatakan bahawa orang tengah ini tidak perlu kerana kita mampu untuk
menahan diri sendiri. Akan tetapi, sejauh dan selama manakah kita mampu untuk
menahan diri kita? Apakah hati kita tidak akan terdetik rasa untuk menghantar
mesej bertanyakan khabar si dia secara peribadi? Apakah kita mampu untuk
menghalang diri, hati dan minda kita daripada merindui si dia? Kalau kita yakin
100% mampu untuk tidak mengalami sebarang masalah rindu, maka bolehlah kita
mengatakan bahawa orang tengah ini tidak perlu. Namun, sebagai seorang muslim
di akhir zaman kita perlu mengakui kelemahan dan kedhaifan diri kita.
Penekanan
Ada
beberapa perkara yang ditekankan dalam Baitul Muslim secara umumnya. Perkara ini
akan dihuraikan dalam bentuk situasi supaya mudah untuk difahami, in sha Allah.
i.
Merisik
Dalam
hal ini, mengambil contoh seorang lelaki atau muslimin berkenan kepada seorang
perempuan atau muslimat, muslimin tersebut perlu menggunakan orang tengah dalam
bertanyakan keadaan pada pihak muslimat. Pihak muslimin boleh bertanyakan
kepada pihak muslimat berkenaan keadaan dirinya, apakah sudah berpunya atau
belum melalui orang tengah tersebut. Sekiranya pihak muslimat mengatakan bahawa
dia belum berpunya, maka orang tengah yang telah dilantik sebelumnya perlu
menyedari bahawa kedua-dua insan yang diamanahkan kepadanya akan melalui peringkat
seterusnya.
ii.
Berkenalan
Di
dalam Islam, tidak ada istilah yang dikatakan couple. Yang dibolehkan di dalam
Islam adalah kita berkenal-kenalan sekiranya kita berkenan terhadap seseorang. Dalam
konteks masyarakat sekarang, ianya lebih dikenali sebagai bertunang.
Dalam
peringkat ini, kedua-dua individu dibolehkan untuk bertanya soalan-soalan yang
berkaitan dengan diri masing-masing, sebagai contoh hal-hal yang berkaitan
dengan keluarga, diri mahupun pekerjaan.
Dalam
hal ini juga, peranan orang tengah amat diperlukan untuk mengelak sebarang
persoalan dan perbualan yang melampaui batas.
Peringkat
berkenal-kenalan ini mungkin mengambil masa sedikit kerana ianya diselangi
dengan istikharah dan istisyarah iaitu pergantungan kepada Allah dalam membuat
keputusan dan perbincangan sesama manusia berkenaan dengan keputusan yang akan
dipilih. Dinasihatkan dalam membuat keputusan, hendaklah sabar dan jangan
terburu-buru supaya keputusan yang akan diambil kelak tidak memakan diri.
iii.
Nikah
Sekiranya
kedua-dua insan tersebut telah bersetuju untuk menjadikan diri masing-masing
sebagai pasangan hidup, maka peringkat seterusnya adalah nikah. Islam tidak
menggalakkan penganutnya untuk berkenalan atau bertunang dengan lebih lama
kerana dikhuatiri akan adanya masalah hati yang lebih berat ataupun tidak
sampai kepada nikah.
Di
peringkat ini, perlunya kedua-dua insan berbincang dengan keluarga
masing-masing. Orang tengah hanya membantu sekiranya kedua-dua pihak memerlukan
nasihat dalam menangani keluarga kerana di peringkat ini, kedua-dua individu
akan lebih banyak meluangkan masa bersama dengan keluraga masing-masing.
Isu
di sekitar BM
Dari Abu Hurairah dari Nabi shallallahu ‘alaihi
wa sallam bersabda:
“Wanita dinikahi karena empat perkara, karena hartanya, karena martabatnya, karena kecantikannya, dan karena agamanya, maka hendaklah engkau mendapatkan wanita yang baik agamanya”
“Wanita dinikahi karena empat perkara, karena hartanya, karena martabatnya, karena kecantikannya, dan karena agamanya, maka hendaklah engkau mendapatkan wanita yang baik agamanya”
Maka daripada hadis ini jugalah timbulnya
beberapa isu yang berlegar di sekitar Baitul Muslim.
i.
Perigi mencari timba
Istilah
ini merupakan istilah yang timbul dalam adat Melayu yang sehingga kini masih
lagi digunakan oleh beberapa orang yang sangat berpegang dengan adat. Memang di
dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa “wanita itu dinikahi”,
namun hadis ini boleh juga dipraktikkan oleh kaum Hawa untuk merisik ataupun
melamar kaum Adam kerana hanya mereka yang tahu berkenaan dengan diri mereka. Namun,
4 ciri-ciri yang dinyatakan di atas tetap menjadi garis pandu dalam memilih
pasangan.
Sekiranya
istilah ini masih digunapakai sehingga ke hari ini dan masa depan, maka akan
berlaku satu masalah yang melibatkan kaum Hawa iaitu lambakan wanita. Hal ini
kerana, fitrah manusia sukakan kecantikan dan hampir kesemua kaum Adam pada
hari ini hanya melihat yang cantik melebih agamanya, walaupun tidak semuanya
sedemikian.
Lantas,
seorang wanita juga boleh memilih seorang lelaki untuk dijadikan teman
hidupnya. Persoalan yang mungkin timbul adalah berkaitan dengan kekurangan kaum
Adam pada akhir zaman ini.
ii.
Poligami
Istilah
ini mendatangkan trauma dan rasa tidak selesa kaum wanita apabila mendengarnya.
Namun, tidak dinafikan ada juga yang tiada masalah dengannya kerana tiada
pilihan untuk mencari lelaki yang baik ataupun terpaksa.
Kemungkinan,
seorang wanita terpaksa meletakkan dirinya untuk menjadi isteri yang kedua atau
ketiga atau keempat kerana lelaki tersebut sangat baik akhlaknya dan juga
seorang yang soleh. Di akhir zaman ini, tidak dinafikan bahawa teramat sukar
untuk mencari lelaki yang soleh dan baik akhlaknya.
Ianya
menjadi satu masalah apabila isteri pertama tidak menyetujui tindakan si suami
untuk beristeri lagi sedangkan si isteri pertama itu masih lagi sempurna dan
mampu untuk melahirkan zuriat. Dalam situasi
sebegini, kedua-dua belah pihak perlu bijak dalam berkomunikasi.
·
Si suami perlu akui bahawa sebarang
kata-kata yang mungkin keluar dari mulut isterinya apabila isu ini diutarakan
merupakan satu tindakan refleks atau secara tidak langsung. Si suami perlu juga
menyedari bahawa si isteri tidak ingin berkongsi kasih.
·
Sekiranya wanita lain menginginkan suami
kepada wanita lain, maka wanita tersebut seharusnya berbincang secara baik dan
rasional dengan lelaki tersebut bersama dengan isterinya. Dalam hal ini, si
suami perlu bijak iaitu dengan menyerahkan segala keputusan kepada si isteri. Biarkan
wanita tersebut berbincang dengan si isteri kerana hanya wanita yang memahami
hati wanita. Namun, perlu dipantau kerana dikhuatiri akan timbulnya pergaduhan.
Walaupun dalam perbincangan tersebut si isteri tidak menyetujui niat wanita
tersebut, akan tetapi mereka tidak akan bermusuh malah boleh berkawan seperti
biasa.
·
Si isteri perlu juga memahami akan
keadaan dunia zaman sekarang. Perkara ini agak sukar kerana walaupun si isteri
faham akan situasi wanita lebih ramai daripada lelaki, tetapi tidak semuanya
akan berasa selesa akan kehadiran orang ketiga. Maka, perbincangan dari hati ke
hati dengan si suami perlu diadakan sebaik dan sekerap mungkin.
iii.
Memilih pasangan
Dalam
hal ini, amatlah berat sekiranya kita meletakkan kecantikan luaran sebagai
kriteria calon yang pertama. Berdasarkan pengalaman, ramai yang memilih
kecantikan melebihi agama, meskipun kedua-duanya orang yang kuat agamanya. Seperti
contoh, seorang lelaki akan terus berkenan kepada seorang wanita yang tidak
kenali dan pertama kali dilihat olehnya, ditambah lagi dengan keayuan dan kecantikannya,
meskipun lelaki tersebut merupakan seorang yang kuat ilmu agamanya. Memang,
fitrah manusia sukakan kecantikan kerana Allah juga sukakan kecantikan. Tetapi,
apakah sebelumnya kita juga menjumpai dan bersosial secara tidak langsung
dengan wanita lain yang kuat agamanya tetapi tidak menyedari ‘kecantikan’
agamanya malah terus berkenan dengan wanita yang lebih cantik? Semua itu, tepuk
dada tanya iman masing-masing.
Demikianlah
tadi beberapa perkongsian yang penulis rasakan belum cukup untuk menjelaskan
Baitul Muslim secara lebih mendalam, mungkin kerana masih lagi kekurangan ilmu
ataupun belum diizinkan oleh Allah s.w.t. Akan tetapi, perkongsian ini
diharapkan boleh memberi manfaat kepada pembaca.
Di
sini, penulis ingin memberi nasihat kepada para pembaca yang dari pelbagai
generasi.
·
Janganlah diadakan cinta sebelum adanya
pernikahan, kerana cinta selepas nikah itu tersangat manis dan nikmat, melebih
adanya cinta sebelum nikah.
·
Bentengilah diri dengan iman dan taqwa
yang mendalam kepada Allah s.w.t kerana hanya dengan iman dan taqwa kepadaNya
sahajalah yang mampu menyelamatkan kita dari godaan serta bisikan syaitan dan
hawa nafsu.
·
Kepada pembaca yang sedang ‘ber-couple’
diharapkan supaya berhenti ataupun terus mengikat diri masing-masing dengan
perhubungan yang sah.
·
Kepada para ibu bapa, sekiranya
anak-anak anda meluahkan hasratnya untuk berkahwin, janganlah dimarahi akan
tetapi mereka perlu diberi panduan supaya mereka faham akan erti perkahwinan
tersebut. Sekiranya mereka mampu untuk menganggung segala ujian dalam
perkahwinan meskipun mereka masih menuntut di menara gading, maka sokong dan
bantulah mereka dalam membuat keputusan kerana perlu kita sedari bahawa dunia
zaman sekarang amat kejam.
·
Bernikah di usia muda berkemungkinan
boleh menjadi salah atau betul. Ianya salah sekiranya semuanya serba tidak
kena. Sebagai contoh, tidak mampu untuk menanggung isteri, tiada perancangan
yang rapi dan kemas dalam menghadapi hidup di alam rumahtangga. Dan ianya boleh
menjadi betul sekiranya segala persiapan untuk menghadapi ujian yang bakal
menimpa telahpun disusun dan disediakan dengan rapi dan kemas, diiringi dengan
perbincangan bersama dengan kedua ibu bapa.
·
Perkahwinan bukanlah untuk sehari dua,
akan tetapi sehingga ke hembusan nafas yang terakhir, bukan pula untuk memenuhi
kehendak nafsu semata, akan tetapi merupakan satu ibadat kepada Allah.
Semoga
bermanfaat kepada semua. Sebarang kekurangan atau kesalahan dalam penulisan
amatlah dikesali lantaran kurangnya ilmu.
Apa
yang baik semuanya dari Allah, yang lemah dari diri penulis yang hina. Hakikatnya
kedua-duanya dari Allah s.w.t.
Sekian,
wassalam.