About Me

My photo
"Allah tahu kemampuan kita..Allah tahu kejahilan dan kebodohan kita..cuma kita tidak tahu di mana hendak cari Allah..carilah Allah dalam setiap denyut nadimu..carilah Allah dalam setiap hela nafasmu..carilah Allah dalam setiap gerak langkahmu..dan carilah Allah dalam setiap degup jantungmu..kau akan temui Allah sentiasa ada untukmu.."

Saturday, June 29, 2013

Road to Ramadhan

Assalamualaikum wbt..Alhamdulillah, pertama dan selamanya kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas segala nikmat yang dipinjamkan olehNya, hidayah serta inayahNya yang tiada berganti.. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w..

Alhamdulillah, dan insya Allah, dalam beberapa hari lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan, satu bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam yang beriman dan bertaqwa kepadaNya..

Bulan Ramadhan merupakan kekasih dan tetamu yang ditunggu-tunggu kerana di dalamnya mengandungi pelbagai nikmat dan rahmat Allah azza wa jalla.. Siapa yang tidak mahu peluang untuk mempertingkatkan amalan apabila semua jalan telah pun dibuka? Ditutup serapat-rapatnya pintu neraka, dan dibuka seluas-luasnya pintu syurga (hadis riwayat Muslim)..Allahu Rabbi..

"Maka nikmat Tuhanmu yang mana engkau dustakan?"

Bulan Ramadhan, seperti mana dijelaskan di dalam kitab suci al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman! Telah ditetapkan (diwajibkan) ke atas kamu berpuasa, sepertimana telah ditetapkan (diwajibkan) ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"
Surah al-Baqarah : 183

Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa berpuasa di bulan Ramadhan merupakan satu amalan wajib yang telah ditetapkan ke atas seluruh umat Islam. Di akhir ayat tersebut, Allah menggunakan ayat "mudah-mudahan kamu bertaqwa". Ayat ini merupakan ganjaran yang bakal diberikan kepada hambaNya yang taat beribadah dan menjaga puasanya.

Mustahil bagi seorang hamba yang beriman akan mengkhianati puasanya dengan membuang masa, melihat sesuatu yang diharamkan, mengumpat, dan lain-lain. Jika ada juga, maka perlu diperiksa diri kita sendiri, adakah kita ingin mendapat darjat orang yang bertaqwa selepas Ramadhan atau hanya mendapat lapar dan dahaga di dalam bulan Ramadhan kali ini?

Apabila kita sebut mengenai bulan Ramadhan, akan terbayang di fikiran kita mengenai suasana bersahur, berbuka puasa dan tidak ketinggalan suasana di bazaar Ramadhan..Allahu Rabbi..

Terlalu banyak isu yang berkisar di dalam bulan Ramadhan seperti tahun-tahun lepas...Di sini saya sertakan lirik lagu Ramadhan Dua Zaman yang dinyanyikan semula oleh Nazrey Johari dan kumpulan nasyid tempatan yang tidak asing, In-Team. Semoga ianya mampu untuk melahirkan keinsafan diri kita sebelum menyambut bulan Ramadhan..

Akhir kata, semoga Ramadhan kali ini dapat kita sapa dan semoga ianya menjadi Ramadhan yang terbaik dalam diri kita insya Allah..

Ramadhan Dua Zaman

Ramadhan..satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gembira cemerlang

Mukmin berjasa diawal zaman

Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman


Mereka gembira kerana kedatangan mu

Kami gembira dengan pemergian mu

Malam mereka meriah disimbah nur al quran
Tapi malam kami muram bertemukan mu

Mereka berlumba mengejar makrifat

Tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa


Takbir mereka takbir kemenangan

Hadiah mujahadah sebulan ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga


1 comment:

  1. Assalam, post yang bermanfaat utk peningkatan ilmu bersama..salam dari kelantani.. May Allah Bless u always..~Sarawakian~

    ReplyDelete