About Me

My photo
"Allah tahu kemampuan kita..Allah tahu kejahilan dan kebodohan kita..cuma kita tidak tahu di mana hendak cari Allah..carilah Allah dalam setiap denyut nadimu..carilah Allah dalam setiap hela nafasmu..carilah Allah dalam setiap gerak langkahmu..dan carilah Allah dalam setiap degup jantungmu..kau akan temui Allah sentiasa ada untukmu.."

Thursday, October 15, 2009

Kisah Cinta Wanita Solehah kepada Tuhannya



Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong dalam wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan di sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran Kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dari segi peribadatan kepada Allah.

Ayahnya hanya bekerja sebagai pengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan. Ayahnya merupakan seorang hamba yang sangat bertakwa, tersingkir dari kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allag yang Maha Pencipta. Dia mendidik jiwa anak perempuannya menjadi muslimah yang sejati dan berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya hanyalah bersumberkan al-Quran semata-mata.

Natijahnya, Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran sehingga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam. Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu menjadi semakin buruk apabila beliau ditinggalkan oleh ibu dan bapanya.

Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian Allah yang bertujuan menguji dan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan, Rabi’ah pernah terjebak dalam perbuatan maksiat.

Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum pernah terpadam di dalam hatinya, Rabi’ah dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat kepadaNya. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba mengharap belas kasihan dan belas ihsan daripada Penciptanya. Antara ucapan Rabi’ah dalam doanya sewaktu kesunyian di kala malam ketika bermunajat kepada Allah:

“ Ya Allah Ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segalanya yang ada yang boleh memsongkan diriku daripada Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau.
Tuhanku, bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di depan Mu.
Tuhanku, tiada ku dengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmat teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan, melainkan ku dapati semua itu menjadi bukti keesaanMu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamaiMu!

Sekalian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik masyuknya. Yang tinggal hanyalah Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapanMu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya di dapat berkhidmat kepada Mu. “

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah s.w.t: “Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam kerana kebesaran dan kesucian Mu, ombak di lautan bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepadaNya malam yang gelita, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkedipan dan setiap yang sesuatu di sisi Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah akan terus bermunajat dengan ungkapan:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula yang mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaanMu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaanMu, jika Engkau menghalau aku dari pintuMu itu, nescaya aku tetap tidak akan bergerak dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepadaMu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan: “Perkahwinan itu memang perlu untuk sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintahNya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain selain daripada Allah. Oleh itu, dia terus menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredhaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya, dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari. Selama 30 tahun, dia terus menerus mengulang kata-kata ini di dalam solatnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaanMu supaya tiada sesuatu pun yang dapat memalingkan aku daripadaMu.”

Antara syairnya yang mahsyur berbunyi: “Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun. Kekasihku ghaib daripada pengllihatanku dan peribadiku sekalipun, akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwanya. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai Mu dan lisan yang menyebut nama Mu dan hamba yang takut kepada Mu?”

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah Berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah Mu kerana takut akan api neraka Mu maka bakarlah aku di dalamnya. Dan jika aku menyembahMu kerana tamak akan SyurgaMu maka haramkanlah aku daripadanya. Tetapi jika aku menyembahMu kerana kecintaanku kepadaMu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajahMu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Suatu ketika orang bertanya kepada Rabi’ah al-Adawiyah sama ada beliau cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. Beliau menjawab : “Cintaku kepada Allah menghalang aku cinta kepada makhluk.”

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah al-Adawiyah yang ditakdirkan Allah untuk diuji keimanan serta kecintaan kepada Nya. Beliau meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Semoga Allah meredhainya. Amin….

No comments:

Post a Comment